Raja Mohamed Affandi mulakan tugas rasmi sebagai Panglima ATM baharu..
![]() |
Raja Mohamed Affandi mulakan tugas rasmi sebagai Panglima ATM baharu.. |
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang bersidang untuk kali ke-548 pada 23 Mei lalu telah bersetuju untuk melantik Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu, menggantikan Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkuat kuasa 16 Disember depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, keputusan berkenaan dicapai melalui persepakatan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Ia dibuat enam bulan lebih awal untuk mengelak sebarang spekulasi oleh pihak luar dan memastikan peralihan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan lancar, selain membantu pemimpin terlibat membuat persediaan rapi.
“Pada masa yang sama ia untuk menamatkan proses lobi dan sebagainya oleh pelbagai pihak,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Pertahanan (Kementah) dekat sini.
Jelas Hishammudin, mesyuarat MAT juga bersetuju untuk melanjutkan perkhidmatan melebihi umur persaraan wajib selama 12 bulan bagi Zulkifeli mulai 14 Jun depan hingga 13 Jun 2017 dan beliau akan mengambil cuti tahunan terkumpul serta mengikuti latihan peralihan mulai 16 Disember depan.
“Turut dilanjutkan tempoh perkhidmatan melebihi umur persaraan wajib selama 12 bulan ialah Raja Mohamed Affandi mulai 20 Jun 2017 sehingga 19 Jun 2018 manakala Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Roslan Suut dilanjutkan 28 November 2016 hingga 27 Mei 2017, dengan cuti tahunan terkumpul serta latihan peralihan akan mula beliau ikuti pada 21 Disember depan.
Raja Mohamed Affandi, 58 tahun, pernah menjawat Ketua Angkatan Tentera Malaysia sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 14 Jun 2013.
Dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja sebelum menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail.
Beliau kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungei Besi sebagai Pegawai Kadet.
Beliau kemudian ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977.
Raja Mohamed Affandi telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Norlida Abdul Mubin dan dikurniakan tiga anak perempuan dan seorang lelaki.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan sebagai Pemerintah dan Pegawai Staf di dalam ATM dan terlibat secara langsung dalam aksi menentang pengganas komunis sewaktu menjawat jawatan sebagai Ketua Platun dan Ketua Kompeni.
Selain daripada penugasan operasi, beliau juga pernah terlibat dalam pelbagai latihan ketenteraan sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Antara beberapa jawatan penting yang pernah dipegangnya termasuklah Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Ketua Jurulatih di PUSASDA, Pegawai Memerintah 18 RAMD, Pegawai Staf 1 Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Pegawai Staf 1 Tadbir di Cawangan Sumber Manusia, Ketua Staf Markas 3 Divisyen, Assisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen.
Beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat mulai 2 Jun 2008 serta menjawat jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia mulai 31 Okt 2009.
Raja Mohamed Affandi juga telah mengikuti kursus profesional di dalam dan luar negara dan berkelulusan Sarjana Pengajian Pertahanan (Australia) serta Sarjana Sains Pertahanan dan Pengajian Strategik (Pakistan). – Sarawakvoice.com
Komentar
Posting Komentar